Parlimen dijangka ‘selesaikan’ isu minyak
PERSIDANGAN Parlimen ke-11 bagi penggal pertama tahun ini yang dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada Isnin, 13 Mac lalu dijangka mengundang beberapa isu utama. Rakyat umumnya boleh menduga, tiga antara isu yang bakal ‘menggegar’ dewan rakyat ialah isu “karikatur Nabi,” selesema burung dan kenaikan minyak.Sejak siang-siang lagi, iaitu di hari pertama perbahasan, Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) cuba membawakan isu “karikatur Nabi” yang kemudiannya ditolak oleh Yang Di-Pertua dewan, Ramli Ngah Talib.
Dari sudut ini, kerja-buat Salahuddin itu bolehlah diakui sebagai memilih satu “jalan demokrasi,” tetapi beliau barangkali lupa bahawa, kalau niatnya mencerut RTM dengan diambil tindakan sepertimana tindakan kerajaan ke atas Sarawak Tribune dan Guang Ming Daily, Salahuddin ternyata silap! Kepentingan kerajaan—dan kepentingan politik Abdullah sendiri—bertingkat-tingkat. Mengharapkan Abdulah mengambil tindakan ke tingkat setinggi mengharamkan dan menggantung RTM adalah satu harapan yang sia-sia dan keanak-anakan.
Menyentuh isu minyak pula, kita tahu bahawa Abdullah, yang ditandakan "sebagai PM paling lemah" oleh Angkatan Muda Keadilan, sebenarnya sudah membuat “persiapan” agak rapi sebelum sampai ke hari persidangan. Tempoh 13 hari, iaitu daripada tarikh pengumuman kenaikan harga minyak (28 Februari) sampai ke sidang parlimen bermula, sudah cukup untuk Abdullah membuat 'home work' dan segala persiapan asas.
Sekalipun alasan kerajaan bahawa kenaikkan harga minyak adalah untuk ‘menjimatkan’ wang kerajaan dan akan mengalirkan dana tersebut kepada kepentingan pengakutan awam, tetapi umum tahu bahawa alasan itu tidak lebih hanya sebagai “dalih.” Umum melihat tidak ada apa-apa rasional mengapa pengakutan awam perlu ditingkatkan saat ini; kala hampir semua sistem pengakutan awam sudah tersedia dan memadai. Kelemahan utama sistem pengakutan awam, misalnya di Kuala Lumpur bukan disebabkan oleh struktur fizikal, tetapi oleh pihak pengutusan yang terjerat di dalam percaturan politik dan korupsi. Mana mungkin RM4 bilion itu bisa memperbaikan kelemahan ini...
Bukti-bukti bahawa kerajaan sudah bersiap sedia dengan sejuta “dalih” bermula apabila timbalan perdana menteri bercakap di RTM kira-kira seminggu selepas subsidi ke atas minyak ditarik balik. Kekentalan kerajaan kemudiannya diikuti dengan pertemuan PM Abdullah dengan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional beberapa hari sebelum sidang parlimen bermula.
Bahkan, sebelum itu juga, Abdullah dilaporkan membuat pertemuan 'sulit' dengan ketua-ketua pengarang beberapa media utama untuk ‘menasihatkan’ mereka agar tidak memainkan isu minyak ini di dada-dada akhbar masing-masing. Nasihat Abdullah ini sewajarnya dilihat sebagai campur tangan pepimpin politik peringkat tertinggi di dalam urusan media ~ selain mengukuhkan pandangan bahawa negara ini memang tidak punya secebis pun kebebasan media.
Selain itu, tanda awal yang memperlihatkan bahawa sidang parlimen kali ini akan menjadi gelanggang untuk meredakan isu minyak dan mengesahkan langkah kerajaan sebagai 'betul'—disamping tidak memberi kesan negatif kepada pemerintahan Abdullah—adalah apabila di dalam titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong tidak ada sebaris pun menyentuh isu berkenaan.
Mengutip pengalaman lalu, bentuk-bentuk penipuan dan ketidaktelusan di dalam keputusan kerajaan perlu senantiasa ‘dirasionalkan’, dan kemarahan rakyat pun dijangka akan cepat mereda. Timbalan perdana menteri, Najib Razak sudah pun mula memainkan peranan ini apabila menyatakan dengan ringkas bahawa “era harga minyak murah sudah pun berakhir.
“Kesimpulannya, era minyak murah, cheap oil sudah berakhir'. Ini realiti yang mesti diterima rakyat Malaysia dan dunia keseluruhannya,” kata Najib sepertimana dipetik sebuah media, 16 Mac lalu.
Dua kali demontrasi minyak nampaknya bakal menjadi 'festa kecil-kecilan' untuk bernostalgia terhadap demontrasi mega di era reformasi lima-enam tahun lalu. Tanpa media yang bebas, bagaimana perbincangan dan persoalan seperti isu minyak naik ini dapat dilanjutkan? Mustahil!
Karena itu, sejak awal kita wajar melihat kebebasan media sebagai sesuatu yang sangat penting untuk mengehadkan kuasa pemerintah untuk berlaku sesuka hati. Namun, Ahli-ahli Yang Berhormat daripada pembangkang seperti ketua dewan pemuda Pas, Salahuddin Ayub sendiri terus terkeliru dalam hal ini, dengan meletakkan kononnya tugas ‘membela’ Nabi jauh lebih penting ketimbang usaha membebaskan media daripada cengkaman pemerintah utilitarian.
Hanya Dr Wan Azizah Ismail (Keadilan-Permatang Pauh) [foto sebelah] yang membawakan isu kebebasan media, walaupun lebih tertumpu kepada isu untuk mendapatkan permit bagi surat khabar partinya, Suara Keadilan. Permit surat khbar berkenaan sudah pun dimohon sejak tahun lalu tetapi dikatakan masih terus dilengah-lengahkan oleh kerajaan. Kenyataan Dr Azizah ini dibuat dilobi parlimen di hari pertama sidang.Salahuddin perlu menyedari bahawa surat khabar seperti organ partinya itu, Harakah sekalipun bila-bila masa boleh dibungkam kerajaan apabila melihat bahawa dengan surat khabar itu, mereka boleh hilang kuasa. Mencari dalih adalah benda paling mudah bagi penguasa, sepertimana lakunya Najib yang tidak menjawab sedikit pun persoalan mengapa subsidi minyak harus dipotong sehingga RM4 bilion tahun ini.
Dia juga tidak perlu menjawab ke mana wang itu akan disalirkan (?). Apa yang dikatakan Najib selama ini semata-mata dalih dengan mengisi beberapa minit waktu di kaca TV, dan beberapa halaman di dalam surat khabar arus perdana yang ‘diperuntukkan’ untuknya yang mewakili kerajaan. Yang terbit di mulut Najib, juga bibir Abdullah adalah dalih demi dalih.
Oleh itu, sebelum sidang parlimen bermula, ternyata tugas dan ‘keperluan asas’ sudah pun dilakukan Abdullah dan Najib. Menteri-menteri lain, kepada kita, tidak banyak peranannya dalam hal ini, atau nyaris tidak releven langsung.
Rakyat Malaysia hari ini nampaknya sedang hidup di dalam kondisi media yang nyaris tidak bermakna apa-apa akibat pihak media sendiri tidak tahu bekerja secara profesional, dengan, ketua-ketua pengarang yang ternyata bacul dan tunduk kepada kuasa politik. Rentetan itu, keduanya, rakyat juga sesungguhnya sedang hidup di tengah-tengah sistem sosial dan kenegaraan yang pincang dengan pembangkangnya lemah dan tidak cukup berkesan, di samping pemerintah yang bukan sahaja tidak tahu "mencari wang," bahkan tidak tahu pula menguruskan wang negara.
Semuanya akan kembali seperti normal selepas sidang parlimen. Banyak perkara sudah dibincangkan di sana; dengan sekian banyak hal yang sudahpun diluluskan dan 'disahkan'. Seperti selalu, ramai nantinya akan pelan-pelan hilang stamina lalu lupa, barangkali ~ walaupun poket mereka semakin perit!
[kembali ke halaman utama]
